Pesara tentera didakwa laku amang seksual terhadap cucu saudara

Sinar Harian
Julai 24, 2024 15:05 MYT
Tertuduh yang juga pesara tentera berusia 65 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tiga tuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga cucu saudaranya pada awal Jun lalu.
Bagaimanapun tertuduh yang juga pesara tentera berusia 65 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun empat bulan.
Perbuatan tersebut dilakukan di dalam sebuah rumah di Kampung Pintu Geng di sini, antara 2 sehingga 7 Jun lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Khairul Azwan Azhan.
Terdahulu, Siti Edabayu tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tertuduh adalah datuk saudara kepada mangsa dan kes itu juga serius.
Muhammad Khairul Azwan bagaimanapun, memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas faktor usia dan mempunyai penyakit.
Siti Edabayu kemudian mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.
https://www.sinarharian.com.my/article/676659/berita/semasa/pesara-tentera-didakwa-laku-amang-seksual-terhadap-cucu-saudara
#pesara tentera #amang seksual
;