Pesara tembak isteri sebelum tembak diri sendiri
Mohd Zalani Md Atan
September 16, 2022 17:50 MYT
September 16, 2022 17:50 MYT
JERANTUT: Seorang warga emas bertindak menembak mati isterinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam satu kejadian di belakang rumah pasangan itu di Kampung Labu, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada 8.30 pagi Jumaat itu, pesara renjer Pejabat Perhutanan Jerantut berusia 73 tahun itu dipercayai bertindak menembak isterinya yang juga pesara Pejabat Perhutanan Jerantut berusia 67 tahun selepas tercetusnya pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi daripada ketua kampung tersebut dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan mengenai satu kejadian bunuh diri menggunakan senjata api di Kampung Labu.
Menurut Mazlan, jiran mangsa terdengar bunyi tembakan dan apabila tiba di tempat kejadian kelihatan lelaki itu telah meninggal dunia sambil terduduk kerana cedera di bahagian leher sebelah kiri bersama dengannya selaras senapang patah.
Jiran tersebut turut mendapati seorang wanita terbaring di bahagian belakang dapur dalam keadaan sedar sambil meminta tolong.
Namun tambah Mazlan, wanita itu meninggal dunia kerana mengalami kecederaan di bahagian belakang rusuk sebelah kiri.
Punca pergaduhan dipercayai kerana isterinya tidak memberi agihan wang hasil jualan tanah dan menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati.
Siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai lesen senjata api dan kes disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan masih diteruskan dan bedah siasat akan dijalankan.