Pesara rugi lebih RM134,000 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bernama
September 21, 2024 15:32 MYT
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 65 tahun itu pada mulanya berminat untuk menyertai skim pelaburan saham di Facebook yang menawarkan keuntungan lumayan dalam waktu singkat. -Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian lebih RM134,000 selepas terperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi media sosial.

Ringkasan AI
  • Seorang pesara kerajaan kehilangan lebih RM134,000 akibat terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud di media sosial.
  • Sindiket menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, menyebabkan mangsa membuat 20 transaksi ke lapan akaun bank berbeza.
  • Ketua Polis Pahang menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dan menyemak nombor akaun di pautan semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 65 tahun itu pada mulanya berminat untuk menyertai skim pelaburan saham di Facebook yang menawarkan keuntungan lumayan dalam waktu singkat.
Beliau berkata sindiket itu menjanjikan setiap pelaburan berjumlah RM300 akan diberikan pulangan sebanyak RM10,000 dalam masa enam jam.
"Mangsa kemudiannya telah membuat pemindahan wang simpanan berjumlah RM134,165 dengan 20 kali transaksi ke lapan akaun bank berbeza diberikan suspek bermula 10 Sept hingga Khamis lepas," katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata mangsa yang tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan dan mengesyaki diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Masyarakat diingatkan menyemak nombor akaun dan telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
-- BERNAMA
#sindiket pelaburan tidak wujud #pesara kerajaan #Facebook #skim pelaburan saham
;