Pesara polis terkejut terima kunjungan Ahmad Zahid
Bernama
Julai 2, 2024 06:30 MYT
Julai 2, 2024 06:30 MYT
NIBONG TEBAL: Seorang pesara polis yang terpaksa berkerusi roda kerana penyakit kencing manis terkejut ketika menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di kediamannya di Kampung Baru Sungai Buaya di Sungai Bakap, di sini, malam tadi.
Mohammad Fauzi Ibrahim, 66, ketika ditemui selepas menerima kunjungan itu berkata, dia tidak dapat menyembunyikan riak wajah terkejutnya sebaik melihat sosok pemimpin nombor dua negara berkenaan selepas solat Maghrib.
"Mulanya saya hairan kenapa ramai orang datang ke rumah tapi bila terlihat dia, terus saya rasa macam mimpi. Apa-apapun saya berbesar hati dan terharu dengan kedatangan Ahmad Zahid yang bertanya khabar saya serta keluarga," katanya kepada Bernama.
Zainab Ismail, 59, pula berkata penyakit kencing manis suaminya semakin serius selepas ibu jari kaki Mohammad Fauzi berlubang dan bernanah kerana terpijak sesuatu semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Besar sebelum dimaklumkan mengenai penyakit Mohammad Fauzi selaku pengerusi masjid itu.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu disambut oleh kira-kira 300 penduduk kampung termasuk Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan jentera parti. - BERNAMA