Pesara polis maut motosikal langgar jengkaut
Aida Aziz
Disember 26, 2023 06:30 MYT
Disember 26, 2023 06:30 MYT
BATU GAJAH: Seorang lelaki yang juga pesara polis maut setelah motosikal dinaikinya berlanggar dengan sebuah jengkaut di Lorong 4 Bakar Kampung Ayer Papan, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 55 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gajah.
"Pada Isnin jam 12 tengah hari berlaku kemalangan di antara motosikal dan jengkaut di lokasi berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati apabila mangsa sampai di tempat kejadian, pemandu jengkaut keluar simpang dari sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa yang datang di laluan sah berlanggar dengan kenderaan itu di hadapan sebelah kanan 'bucket'.
"Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di bahagian dada dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan yang diedarkan malam tadi.
Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing pemandu jengkaut berusia 64 tahun itu didapati negatif dan tiada rekod saman.
Mohamad Roy berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat serta menyaksikan kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, Insp Rissi Ganasan di talian 017-7615662.