Pesara polis maut kemalangan motosikal, 4WD di Ipoh
Abd Razak Mohd Ali
September 28, 2019 09:47 MYT
September 28, 2019 09:47 MYT
Seorang pesara polis maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah pacuan empat roda (4WD) di Jalan Jelapang–Lebuh Meru Raya, di sini, pada Jumaat malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Zamri Abu Hassan, 60, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
Penunggang sebuah lagi motosikal, Muhammad Aiman Razali, 21, hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu pacuan empat roda tidak cedera.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohd Nordin Abdullah berkata ketika kejadian, mangsa terjatuh setelah terlanggar fender 4WD yang tiba-tiba melintas di hadapannya.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah pacuan empat roda daripada arah jalan Lebuh Raya Meru ke Jelapang telah melintas di hadapan laluan motosikal mangsa untuk masuk simpang sebelah kiri motosikal itu,” katanya, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar fender belakang sebelah kiri 4WD itu yang dipandu seorang wanita lalu terjatuh di atas jalan raya.
Katanya, motosikal yang ditunggang Muhammad Aiman kemudiannya terlanggar motosikal mangsa.
Menurut Mohd Nordin, mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemuda yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.
Polis menahan pemandu 4WD terbabit untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#4WD
#Hospital Raja Permaisuri Bainun
#Mohd Nordin Abdullah
#Muhammad Aiman Razali
#pesara polis
#Zamri Abu Hassan