Pesara polis main peranan penting
Bernama
Januari 18, 2013 16:08 MYT
Januari 18, 2013 16:08 MYT
Pesara polis memainkan peranan penting untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan tanggungjawab polis supaya masyarakat memahami prosedur yang mesti dipatuhi pasukan itu, kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah.
Beliau berkata penjelasan seperti itu boleh membantu polis menepis pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap polis berhubung sesuatu isu.
"Saya berharap mereka (pesara) boleh membantu memperbaiki imej polis yang tercalar disebabkan perbuatan segelintir anggotanya. Mereka boleh menjelaskannya kepada masyarakat.
Kadang-kadang orang ramai bercerita mengenai polis di kedai-kedai kopi. Jadi mereka boleh jelaskan.
"Sebagai contoh, ada pihak berkata mengapa polis lambat menyelesaikan siasatan? Kita perlu mengikut prosedur yang betul. Ada pula kata mengapa orang itu tidak didakwa atau dibebaskan dari mahkamah? Ini berlaku bila polis tidak cukup bukti," katanya.
Awang Besar berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Anggota Jawatankuasa Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Tawau dan PBPM Silam di sini hari ini.
PBPM Tawau diketuai Tandek Sedah manakala PBPM Silam oleh Idris Jikun.
Mengenai perjumpaan dengan anggota PBPM itu, Awang Besar berkata ia antara lain bertujuan mengeratkan hubungan antara pesara polis dengan anggota polis yang masih bertugas selain dapat mengetahui permasalahan yang mereka hadapi seterusnya menghulurkan bantuan sewajarnya.
Sebagai contoh katanya pihaknya akan bekerjasama dengan PBPM bagi menjejaki pesara polis berasal dari Tawau yang layak menerima Saguhati Khas kerajaan bernilai RM3,000 sebagai penghargaan kepada bekas anggota polis berkenaan.
Katanya masih ramai pesara polis berasal dari Tawau belum menerima saguhati berkenaan kerana ada di kalangan mereka tidak dapat dikesan terutama yang bersara daripada polis ketika bertugas di luar daerah Tawau.