Pesara perlu percaya kemampuan KWSP uruskan simpanan - Nur Jazlan

Wan Syamsul Amly
Jun 11, 2014 17:50 MYT
NUR JAZLAN: Peranan KWSP dalam mengurus dan memastikan wang itu dapat dikembangkan dengan strategi terbaik sudah terbukti selama ini.
Golongan pesara disaran terus memberi kepercayaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai salah satu agensi menabung terbaik negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, peranan KWSP dalam mengurus dan memastikan wang itu dapat dikembangkan dengan strategi terbaik sudah terbukti selama ini.
"Jaminan kedudukan kewangan KWSP sendiri disifatkan amat kukuh sekali gus tidak berdepan risiko bankrap seperti yang dibimbangi orang ramai.
"Mereka yang bersara dan tinggalkan duit di dalam KWSP. Kadang-kadang (pesara) banyak yang tidak biasa mengurus wang mereka dan akhirnya berbelanja lebih daripada wang yang ada,'' katanya.
Nur Jazlan berkata demikian semasa sidang media selepas mendengar taklimat pengurusan tertinggi KWSP di Parlimen.
Pengeluaran umur 55 tahun membolehkan ahli mengeluarkan kesemua simpanan apabila mencapai umur berkenaan bagi membantu ahli menyara hidup semasa persaraan.
Ahli diberi pilihan kaedah bayaran sama ada untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan atau secara sebahagian.
Ahli juga layak untuk mengeluarkan semua, sebahagian atau pengeluaran bayaran secara bulanan terhadap simpanan mereka.
Dalam pada itu katanya, KWSP mencatatkan peningkatan 58% pendapatan pelaburan kasar daripada RM5.604 bilion pada suku pertama 2013 kepada RM8.834 bilion pada tempoh sama 2014.
Katanya, jumlah itu membabitkan sektor ekuiti, bon, hartanah dan tukaran asing.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri pertama, KWSP memperoleh pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM35 bilion pada tahun lalu berbanding RM31.02 bilion pada 2012 dan RM27.23 bilion pada 2011.
Laporan itu menambah, KWSP juga telah menerima pendapatan pelaburan kasar hartanah dan infrastruktur sejumlah RM1.14 bilion pada 2013 berbanding sasaran tahunan berjumlah RM930 juta iaitu pencapaian sebanyak 122.5 peratus.
Laporan itu turut menyebut, pengauditan yang dijalankan antara Ogos hingga November 2013 turut merekodkan pelaburan kasar KWSP yang dijalankan di United Kingdom, Australia, Singapura dan Eropah telah meningkat sebanyak 91.1 peratus daripada RM596 juta pada 2012 kepada RM1.14 bilion pada 2013.
Jelas Nur Jazlan lagi, pelaburan domestik KWSP mencatatkan RM468.36 bilion (80%) dan pelaburan luar RM118.3 bilion (20%).
"Angka itu sekali gus memberi impak baik dalam jangka panjang dan KWSP juga membuktikan pengurusan mereka selama ini bertaraf dunia,'' ujarnya.
#Kira-Kira Wang Negara #KWSP #Nur Jazlan #PAC #pesara
;