Pesara mengaku tidak bersalah cederakan lelaki bukan Islam tidak berpuasa
Astro Awani
Mac 19, 2025 16:36 MYT
Mac 19, 2025 16:36 MYT
Abdul Razak Ismail, 65, di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan seorang pemuda bukan Islam yang tidak berpuasa Ahad lalu.
Abdul Razak Ismail, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda di Lot L1 14 dan 15, Tingkat 1, sebuah pusat beli-belah di Tampoi, kira-kira jam 6.15 petang pada 17 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun peguamnya, Mohd Salleh Togimin memohon jumlah itu dikurangkan kerana Abdul Razak yang juga pesara kerajaan perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes dijadualkan pada 29 April depan bagi serahan dokumen.
Terdahulu, dalam prosiding berasingan pagi tadi, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Razak selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan kes berkenaan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.
Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.
Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa telah dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.