Pesara maut nahas dua kenderaan

Sinar Harian
Februari 19, 2022 13:11 MYT
Anggota bomba bantu keluarkan mayat mangsa tersepit selepas terbabit dalam nahas libatkan dua kenderaan di Kilometer 32 Jalan Ganchong-Tebat pada Jumaat. - Foto Facebook/JBPM Pahang
PEKAN: Seorang pesara maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32, Jalan Ganchong-Kampung Tebat di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, A Razak Jalil, 69, dari Gambang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, Masor Ahmad,71, dan penumpang, Mohd Ikbal Omar, 35, pula cedera.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gambang dari arah bandar Pekan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas terlanggar lubang di atas jalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.
"Dalam kejadian itu, kereta mangsa terlanggar kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohd Zaidi berkata, mangsa yang tersepit dalam keretanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat, manakala pemandu dan penumpang Mitsubishi Pajero dihantar menerima rawatan di hospital sama," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Nahas #pesara #pacuan empat roda #meninggal dunia
;