Pesara maut, motosikal terbabas dalam perjalanan pulang ke rumah
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 5, 2022 21:01 MYT
Ogos 5, 2022 21:01 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang pesara maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 93.5 Lebuh Raya Utara Selatan, pada Jumaat.
Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, mangsa menunggang berseorangan motosikal jenis Yamaha Lagenda 110 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Raya Dalam, Pendang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan polis mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang sedang bergerak dari arah Sungai Petani menghala ke arah Pendang telah terbabas ke kiri jalan.
“Impak perlanggaran yang kuat telah mengakibatkan mangsa maut serta-merta di lokasi kemalangan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa berusia 60 tahun itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkuran Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagaimana mangsa boleh terbabas.