Pesara kerajaan rugi lebih RM700,000 diperdaya 'phone scam'

Bernama
Julai 25, 2024 06:21 MYT
Wanita berusia 67 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai polis dan menyatakan kononnya dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram. - Gambar hiasan
TANGKAK: Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM735,000 selepas terperdaya dengan sindiket 'phone scam' atau penipuan melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata wanita berusia 67 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai polis dan menyatakan kononnya dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram.
Beliau berkata warga emas itu kemudiannya diminta untuk memindahkan wang daripada akaun miliknya ke 10 akaun berbeza yang diberikan suspek, kononnya bagi tujuan siasatan.
"Bagaimanapun wanita itu menyedari ditipu selepas memindahkan wangnya, dan membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#phone scam #pengubahan wang haram #pesara kerajaan #mangsa sindiket