Pesara kerajaan didakwa guna dokumen palsu, salah guna harta

Sinar Harian
Ogos 25, 2024 12:49 MYT
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Ahad atas 13 pertuduhan salah guna harta dan menggunakan dokumen palsu berjumlah RM140,867.79.
Tertuduh, Jafri Wahab, 58, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke 11, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM29,200 kepunyaan Tabung Kebajikan Anulae Cawangan Terengganu untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara bulan Januari hingga Julai 2020 di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Kes tersebut dibacakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, tertuduh juga berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan dokumen palsu atas nama Anulae Cawangan Terengganu bagi tahun 2019 hingga 2020 berjumlah RM111,667.79.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Jun 2020 di Public Islamic Bank cawangan Kuala Terengganu.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, serahan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
Mahkamah turut membenarkan kesemua kes dibacakan bersama dan menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula dan urusan dokumen.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Asaari Salleh. -- Sinar Harian
#pesara kerajaan #salah guna harta #dokumen palsu #Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu #Jafri Wahab