Pesara kecewa tanggungjawab jaga maruah negara kian pudar
Bernama
Ogos 27, 2017 16:34 MYT
Ogos 27, 2017 16:34 MYT
Ketaatan kepada pemimpin, raja dan negara adalah perkara paling asas untuk menjaga kedaulatan dan maruah Malaysia di mata dunia namun malangnya, ia dilihat semakin pudar dalam kalangan anak-anak muda.
Mengakui terkilan dengan keadaan ini, pesara tentera laut, Mohd Sarif Kalam, 82, berkata golongan muda kini terlalu selesa dengan kehidupan mereka hingga lupa untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
"Apabila ketiga-tiga sifat ini hilang dalam diri, kita akan mula membuat kerja yang bukan-bukan termasuk bergaduh sesama sendiri, mengkritik raja, pemimpin dan lain-lain, walhal sebenarnya mereka berpendidikan.
"Mengapa ini berlaku? Kerana mereka hidup terlampau mewah, selesa dan tidak dididik mengikut acuan yang sebetulnya hingga lupa untuk memberi tanda penghormatan kepada negara dan orang-orang yang telah menyumbangkan kepada kehidupan sekarang," katanya.
Mohd Sarif merupakan antara tiga pegawai tentera laut yang ditugaskan menaikkan bendera Malaya (kini dikenali Jalur Gemilang) ketika Hari Kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957, berkata demikian ketika dihubungi baru-baru ini.
Mohd Sarif berkata bagi mengelakkan anak-anak muda terus hilang ketiga-tiga sifat ini maka adalah wajar untuk mereka diajar memahami diri sebaiknya berlandaskan kepada tuntutan agama dan keadaan sekeliling.
Katanya, tanpa mengenali diri sedalam-dalamnya, anak-anak muda akan kurang berupaya membezakan antara perbuatan yang salah dan betul dalam kehidupan harian masing-masing hingga mudah terpedaya.
"Ilmu agama adalah yang paling mustahak. Ilmu lain boleh dicari kemudian. Kita tidak akan buat perkara-perkara yang tidak senonoh jika kita berpegang pada agama.
"Sambil itu, terapkanlah semangat patriotisme agar mereka beringat untuk taat pada golongan yang sepatutnya dan tidak menimbulkan kekecohan yang mampu menggugat keamanan negara," kata beliau.
-- BERNAMA