Pesara kanan TUDM didenda RM150,000 kerana terima wang bina rumah

Bernama
November 14, 2024 16:36 MYT
Zainal sebelum ini didakwa menerima pembayaran pembinaan rumah bernilai RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar Jeneral menjelaskan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah menerima wang RM100,000 bagi bayaran pembinaan rumah, dua tahun lepas.
Hakim Suzana Hussin juga memerintahkan Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain menasihati tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu dan benar-benar insaf terhadap perbuatannya.
Zainal didakwa menerima pembayaran pembinaan rumah bernilai RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh yang semasa itu memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Material TUDM, Kementerian Pertahanan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju di sini pada 15 Mac 2022 dengan pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga bagi masyarakat.
"Tertuduh bukan berpangkat biasa dalam TUDM sebaliknya Asisten Ketua Staf Material yang merupakan antara pangkat tertinggi dalam TUDM. Oleh itu, pendakwaan mohon hukuman setimpal terhadap tertuduh," katanya.
Bagaimanapun, peguam Wafa Shalehah Helmy yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya kini bergantung pada pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan selain menghidap penyakit darah tinggi manakala isterinya merupakan pesakit diabetes.
"Kami memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang tidak terlampau tinggi kerana usia anak guam telah mengehadkannya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membayar denda," katanya.
-- BERNAMA
#Pesara kanan TUDM didenda #Zainal Abdul Manaf #mengaku bersalah menerima wang membina rumah #Rasuah
;