Pesara guru tinggal dalam timbunan sampah tiada masalah mental
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 12, 2020 14:00 MYT
Oktober 12, 2020 14:00 MYT
IPOH: Pesara guru yang hidup dalam timbunan sampah sarap di rumahnya di Taman Bersatu, di sini disahkan normal dan tidak mengalami masalah mental.
Ujian saringan kesihatan mental (DASS) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kinta mengesahkan kesihatan Chung Sook Khuan, 63, seperti manusia normal lain.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, ujian gula dalam darah dan tekanan darah pesara guru itu juga berada di paras normal.
“Cuma apa yang difahamkan daripada psikiatris, ini mungkin disebabkan oleh ‘habitual action’ ataupun sikap atau perangai biasa dia.
“Itu merupakan habit (tabiat) normal, maknanya awal pagi bangun pukul 8, dia akan pergi kutip sampah dan kalau tak ada tempat yang nak jual atau asingkan sampah tersebut, dia akan letakkan longgokan sampah itu di dalam kawasan pekarangan rumah dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pesara guru itu bersama-sama Exco Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Noorashikin Wan Noordin pada Isnin.
Sejak seminggu lalu, tular di media sosial mengenai pesara guru itu yang mendiami rumah umpama tempat pembuangan sampah.
Malah, difahamkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah membersihkan sampah di rumah itu sekurang-kurangnya tujuh kali sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Wan Noorashikin berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memulakan sesi kaunseling sejak minggu lalu dan akan membuat pemantauan berterusan.
"Ada perubahan, beliau tidak lagi mengutip sampah dan memunggahnya di rumah, tetapi terus dibawa ke pusat kitar semula berhampiran.
“Kalau keadaanya semakin baik, kita akan beri kaunseling seminggu sekali atau dua minggu sekali," ujarnya.
#pesara guru
#pesara guru kumpul sampah
#timbunan sampah
#Chung Sook Khuan
#Kutip sampah
#longgokan sampah
#pekarangan rumah
#Ipoh
#Taman Bersatu
#Perak