Pesara, guru rugi lebih RM100,000 diperdaya sindiket cabutan bertuah
Bernama
Februari 13, 2025 20:15 MYT
Februari 13, 2025 20:15 MYT
Seorang pesara wanita kerugian RM66,000 manakala guru lelaki pula hilang wang simpanan RM43,750 akibat diperdaya sindiket penipuan cabutan bertuah di laman Facebook. - Foto hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang pesara wanita kerugian RM66,000 manakala guru lelaki pula hilang wang simpanan RM43,750 akibat diperdaya sindiket penipuan cabutan bertuah di laman Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kedua-dua mangsa telah melihat tawaran cabutan bertuah yang kononnya ditawarkan sebuah bank tempatan di laman sosial berkenaan pada 11 Feb lepas dan menekan pautan yang tersedia bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Beliau berkata walau bagaimanapun mereka diminta mendedahkan maklumat perbankan masing-masing bagi mendapat hadiah yang ditawarkan.
"Mangsa lelaki yang berusia 50 tahun dan wanita yang berumur 60 tahun itu kemudiannya menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan mereka telah mendaftar aplikasi bank berkenaan di telefon bimbit.
"Kedua-duanya yang curiga telah membuat semakan dengan pihak bank dan terkejut apabila mendapati wang dalam akaun masing-masing telah lesap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata pesara dan guru itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan polis turut menerima lima lagi laporan berkaitan modus operandi penipuan yang sama, namun tidak melibatkan kerugian.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi sindiket penipuan yang licik dan sentiasa berubah-ubah.
-- BERNAMA