Pesara guru kerugian RM100,000 diperdaya Macau Scam

Adie Sufian Zulkefli
Januari 17, 2022 10:12 MYT
Seorang pesara guru kerugian RM100,000 selepas menerima panggilan kononnya mangsa terbabit dalam kemalangan dan ada membuat tuntutan insurans berkaitan. -Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang pesara guru kerugian RM100,000 selepas menerima panggilan kononnya mangsa terbabit dalam kemalangan dan ada membuat tuntutan insurans.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa wanita berusia 60 tahun dari Changlun itu menerima panggilan pada 3 Januari lalu daripada individu yang mengaku ejen insurans dari Kuala Lumpur.
Beliau berkata, mangsa pada mulanya menafikan dakwaan ada melakukan tuntutan insurans berkenaan, namun terjerat selepas diarahkan membuat laporan secara dalam talian ke Balai Polis Pudu.
"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Pudu untuk membuat pengesahan.
"Suspek kemudiannya memaklumkan hasil semakan nombor kad pengenalan mangsa mendapati, dia terbabit dengan kes pengubahan wang haram.
“Suspek turut memaklumkan waran tangkap ke atas mangsa telah dikeluarkan.
"Mangsa diminta untuk memberikan 16 digit nombor tertera pada kad mesin juruwang automatik (ATM) akaun Bank Rakyat milik mangsa serta butiran perbankan dalam talian untuk tujuan siasatan.
"Malah mangsa perlu menunggu selama tiga minggu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Elias berkata, selepas 10 hari, mangsa yang berasa curiga membuat semakan dan mendapati wang simpanan di dalam akaun Bank Rakyat miliknya berjumlah RM100,000 telah lesap.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 13 Januari lalu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).
#Macau Scam #pesara guru #menyamar sebagai ejen insurans #Elias Omar
;