Pesara guru gemar kumpul sampah bakal diberi kaunseling
Bernama
Oktober 7, 2020 13:17 MYT
Oktober 7, 2020 13:17 MYT
IPOH: Kerajaan Perak akan membantu seorang pesara guru wanita yang tinggal di sebuah rumah teres dua tingkat yang dipenuhi sampah di Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, tinjauan ke rumah itu mendapati Chung Sook Khuan, 63, yang tinggal bersendirian sejak beberapa tahun lepas, gemar mengutip sampah bagi tujuan kitar semula.
"Bagaimanapun, masalah longgokan sampah setinggi kira-kira 1.5 meter di halaman rumah wanita yang dipanggil Cikgu Chung itu menimbulkan kerisauan jiran kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatannya dan juga penduduk berhampiran.
"Keadaan itu juga menyebabkan pencemaran bau serta dibimbangi mengakibatkan pembiakan nyamuk aedes dan masalah lain, lebih-lebih lagi dengan ancaman wabak COVID-19 ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat kawasan rumah berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain khidmat kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan bertindak segera membersihkan kesemua longgokan sampah di rumah itu.
Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri sedang mengesan tiga orang anak Chung serta suaminya yang dipercayai tinggal di Taman Botani di sini, untuk tindakan lanjut dan difahamkan mereka tinggal berasingan disebabkan kegemaran mengutip sampah wanita itu.
"Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk membuat pemeriksaan bagi mendapatkan laporan tahap kesihatan Chung," katanya.
Wan Norashikin berkata, bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan diambil sekiranya Chung masih berdegil untuk terus mengutip dan mengumpul sampah di rumahnya dan tindakan terakhir yang boleh dilakukan ialah menempatkan warga emas berkenaan di pusat jagaan orang tua kerana dia enggan tinggal bersama keluarga.
Sementara itu, Chung yang ditemui berkata, anak-anaknya, seorang perempuan dan dua lelaki berumur dalam lingkungan 30-an, sering mengunjunginya bagi menghantar makanan.
Chung sering dilihat berbasikal hingga lewat malam mengutip sampah dari premis berhampiran yang kemudian dibawa pulang, malah dakwa sesetengah pihak wanita itu terpaksa memanjat longgokan sampah di halaman untuk masuk ke dalam rumahnya. - BERNAMA
#pesara guru kumpul sampah
#Kutip sampah
#kitar semula
#pesara guru
#Chung Sook Khuan
#Kerajaan Perak