Pesara dakwa ditipu pelaburan emas tidak wujud lebih RM1.1 juta
Abd Razak Mohd Ali
November 4, 2020 08:28 MYT
November 4, 2020 08:28 MYT
TAIPING: Seorang pesara swasta mendakwa kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya skim pelaburan emas yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata mangsa lelaki berumur 60 tahun itu mendakwa berurusan dengan seorang wanita dari negara jiran yang dikenali melalui satu aplikasi ‘dating’.
Menurutnya, wanita berkenaan menawarkan mangsa untuk melabur dalam pelaburan emas yang kononnya menawarkan pulangan lebih RM11 juta.
“Pengadu telah memasukkan wang secara berperingkat ke dalam lapan akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan emas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Osman berkata mangsa yang ingin menunaikan wang keuntungan tersebut telah diberikan satu resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaunnya.
Bagaimanapun, setelah semakan dibuat, mangsa mendapati tiada kemasukan wang dan semakan dengan pihak bank juga mendapati resit transaksi yang diberikan adalah palsu.
Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.