Pesara berputih mata, 'Mejar Azman' lesapkan RM180,000
Adie Sufian Zulkefli
April 14, 2022 20:46 MYT
April 14, 2022 20:46 MYT
ALOR SETAR: Sekelip mata wang simpanan berjumlah RM180,000 milik seorang pesara bank lesap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa merupakan wanita berusia 50-an pada awalnya menerima panggilan daripada 'Mejar Azman' yang mengaku sebagai pegawai polis sejak Ogos tahun lalu.
“Suspek memberitahu bahawa mangsa ada membuat tuntutan insurans di Hospital Tung Shin, Sentul, Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun mangsa menafikan dia pernah pergi ke Balai Polis Sentul dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Lim Hwa' bersama seorang pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bernama 'Mejar Azman'.
“Selepas mangsa enggan mengaku, 'Mejar Azman' membuat semakan dan terdapat waran tangkap ke atas mangsa mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Elias berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuka akaun Agrobank dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh suspek.
Suspek mengarahkan mangsa untuk mengeluarkan wang simpanan di dalam Tabung Haji berjumlah RM180,000 dipindahkan ke akaun Agrobank untuk tujuan keselamatan.
Akhirnya setelah melakukan apa yang di arahkan 'Mejar Azman', mangsa menyedari dia ditipu lalu membuat semakan ke atas akaun Agrobank mendapati kesemua wangnya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga secara berperingkat tanpa disedari mangsa.
Ekoran itu Elias memaklumkan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar, pada Rabu malam.
“Susulan daripada laporan yang dibuat mangsa polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan yang membawa kepada hukuman 10 tahun penjara dan sebat.