Pesara bank wanita kerugian RM1.98 juta angkara 'love scam'

Bernama
Ogos 31, 2024 22:27 MYT
Wanita itu telah memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan sejak Mei lepas seperti yang diarahkan, untuk menebus bungkusan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung seorang pesara bank wanita mengalami kerugian RM1.98 juta dipercayai terjerat dalam penipuan "love scam".
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan pada 4.10 petang semalam daripada pesara berusia 64 tahun itu yang merupakan mangsa penipuan yang berlaku di Bukit Jelutong di sini membabitkan penerimaan satu bungkusan.
"Untuk menebus bungkusan tersebut, wanita tempatan yang merupakan pengadu telah memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan sejak Mei lepas seperti yang diarahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussein berkata susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Beliau menasihati orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan penipuan tersebut dan jangan melayan mereka yang tidak dikenali di media sosial.
"Jangan mudah percaya dengan kenalan di media sosial. Semak dahulu sebelum membuat transaksi kewangan serta sahkan nombor telefon serta akaun di https://semakmule.rmp.gov.my," katanya.
-- BERNAMA
#love scam #tebus bungkusan #mangsa kerugian #mangsa penipuan #polis