'Pesan mi tarik, dapat nasi daging babi'
Sinar Harian
Jun 4, 2024 14:15 MYT
Jun 4, 2024 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kisah penghantar makanan tersalah hantar pesanan ke alamat yang lain mungkin perkara biasa didengari, namun insiden menimpa sebuah keluarga seperti tular di media sosial ketika ini dianggap sukar untuk dimaafkan.
Mana tidaknya, berdasarkan perkongsian di akaun Facebook Izham Nayan, pekerja sebuah syarikat penghantar makanan didakwa tersalah hantar makanan berasaskan daging babi ke rumah rakannya yang beragama Islam.
Lebih parah lagi, makanan 'tidak halal' tersebut dikatakan telah dimakan oleh anak-anak mangsa sebaik menerima makanan yang dipesan oleh bapa mereka secara dalam talian.
"Penghantar makanan salah hantar makanan (berasaskan) babi ke rumah kawan saya. Anak-anak dia sudah makan, asal order (pesan) mi tarik.
"Ibu tengah handle online class (kendalikan kelas dalam talian). Anak-anak kecil pula tengah lapar," dakwanya menerusi catatan di laman sosial tersebut.
Izham Nayan melalui perkongsian sama juga memaklumkan, kedudukan resit pesanan yang diletak di bawah bungkusan makanan juga turut membuatkan insiden itu tidak disedari lebih awal.
"Resit biasa tampal dekat luar (plastik) tapi yang ini resit dekat belah (bahagian) bawah sekali dalam plastik, (bila) keluarkan semua baru jumpa resitnya," ujar pemilik akaun berkenaan.
Berdasarkan resit yang dikongsikan, pesanan awal dibuat membabitkan mi tarik bersama sup daging dan dumpling, bagaimanapun makanan yang diterima mangsa ialah nasi ayam panggang bersama daging babi panggang.
Susulan hantaran yang dimuat naik hingga tular itu, rata-rata pengguna media sosial menzahirkan rasa simpati kepada keluarga berkenaan terutamanya kanak-kanak terbabit. - Sinar Harian