Pesalah trafik pada Op Selamat berdepan tindakan mahkamah - Liow
Bernama
Januari 14, 2017 07:48 MYT
Januari 14, 2017 07:48 MYT
Pemandu yang didapati melakukan kesalahan seperti menggunakan lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar semasa Op Selamat sempena Tahun Baru Cina 2017 dari 21 Jan hingga 5 Feb ini akan dihadapkan ke mahkamah.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tiada kompaun akan dikeluarkan bagi kesalahan seumpama itu pada Op Selamat berkenaan yang menggunakan slogan 'Pandu Cermat Sampai Selamat'.
"Saya bagi amaran awal, jangan nanti kata kita tak bagi amaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menyalakan tanglung dan persembahan gendang sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017 di sini pada Sabtu.
Beliau menarik perhatian bahawa ini kali kedua pesalah jalan raya bakal berdepan tindakan mahkamah selepas ia dilaksanakan buat kali pertama pada Op Selamat Aidilfitri tahun lalu.
"Pengguna jalan raya digesa supaya bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya sepanjang musim perayaan ini. Ia bukan tanggungjawab kerajaan dan pihak berkuasa sahaja," katanya. -- BERNAMA