Pesalah trafik AWAS berdepan tindakan mahkamah - Aziz

Harits Asyraf Hasnan
November 28, 2017 18:39 MYT
AZIZ berkata pesalah trafik masih mempunyai tempoh sebulan untuk menyelesaikan kompaun sebelum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengheret mereka ke mahkamah. - Gambar fail
Kegagalan pesalah trafik membayar saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dikeluarkan selepas bulan Mei 2017 akan berdepan tindakan mahkamah awal tahun depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata pesalah trafik masih mempunyai tempoh sebulan untuk menyelesaikan kompaun sebelum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengheret mereka ke mahkamah.
"Bagaimanapun untuk saman AWAS mulai 1 Mei kita akan mula pendakawaan sekiranya tidak membayar kompaun.
"Kompaun ini RM150 dan jika pergi ke mahkamah, minimum yang perlu di bayar adalah RM300. Jadi sebab itu kerajaan bagi peluang sampai awal 2018.
"Sekiranya tidak membayar kompaun, maka akan dibawa ke mahkamah, bayarannya lebih tinggi, dua kali ganda dan itu pendekatan kerajaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) berkenaan jumlah pesalah trafik Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dibawa ke mahkamah.
Menjawab soalan asal berkenaan saman AES, Aziz berkata sistem itu masih digantung dan status mereka yang menerima kompaun yang dikeluarkan sejak 2012 hingga April 2017 masih dikaji oleh Jabatan Peguam Negara.
Bagaimanapun tegasnya sistem demerit pesalah trafik seperti AWAS, kini beroperasi sepenuhnya sejak ia diperkenalkan pada April tahun ini.
Mengikut rekod, pada masa kini terdapat 2.7 juta saman AES sekali gus menyebabkan Jabatan Peguam Negara masih menilai saman tersebut.
#Ab Aziz Kaprawi #AWAS #JPJ #keselamatan #mahkamah #rakyat #saman #Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik #trafik
;