Pesakit strok rentung dalam kebakaran
Sinar Harian
September 26, 2023 17:07 MYT
September 26, 2023 17:07 MYT
PENAMPANG: Seorang pesakit strok warga emas ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Babagon di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mayat Liew Ah Ngou, 68, ditemukan di bilik tidurnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.07 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Penampang dengan dibantu BBP Kota Kinabalu dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 11.3 kilometer.
"Kejadian melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sebanyak 95 peratus dan semasa pasukan bomba tiba, didapati tiada laluan untuk jentera bomba masuk ke lokasi.
"Pasukan bomba bergegas ke lokasi dengan berjalan kaki melalui jambatan gantung bagi menyeberang sungai untuk tiba ke lokasi dan kerja memadamkan kebakaran segera dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan berjaya menemui seorang mangsa rentung dalam kejadian itu.
"Mangsa tinggal berseorangan dan difahamkan sebagai pesakit strok," katanya.
Tambah beliau lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 11. 30 pagi. -Sinar Harian