Pesakit strok rentung, adik melecur cuba selamatkan abang
Sinar Harian
November 17, 2024 14:30 MYT
November 17, 2024 14:30 MYT
SANDAKAN: Seorang pesakit strok ditemukan rentung manakala adiknya melecur selepas rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Jalan Batu Sapi Karamunting di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa Jailan Jaimin, 35, tidak sempat diselamatkan adik lelakinya yang berusia 20-an selepas api mulai marak dan merebak ke seluruh rumah tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.
Katanya, seramai 15 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari BBP Sandakan.
Ujarnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah 100 peratus dan beberapa kenderaan turut terbakar.
"Operasi memadam api segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa ditemui dalam keadaan retung di kawasan hadapan ruang tamu rumah.
"Ketika kejadian mangsa bersama adiknya manakala ahli keluarga lain keluar. Mangsa yang mengalami strok tidak sempat diselamatkan dan adiknya pula mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan ketika cuba menyelamatkan abangnya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mohd Nidzam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi memadam api berjaya dilakukan dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi," katanya. - Sinar Harian