Pesakit positif COVID-19 lari dari wad hospital

Sinar Harian
Mei 5, 2021 10:16 MYT
Hospital Lama Sungai Petani di mana seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19 melarikan diri. Gambar kecil: Adzli Abu Shah
SUNGAI PETANI: Seorang pesakit yang disahkan positif COVID-19 melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Lama Sungai Petani pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata lelaki berusia 39 tahun itu dikenali sebagai Azizi Sarip, 39, dilaporkan tiada di wad setelah enam hari menerima rawatan.
"Polis kini sedang giat mengesan lelaki terbabit sejak dilaporkan menghilangkan diri dan tiada di katilnya di wad B1.
"Hasil maklumat pesakit lain memaklumkan, bahawa lelaki itu telah membawa beg dan barangan peribadinya keluar pada jam 6.30 pagi," katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit mendapatkan rawatan di hospital sama bagi tujuan pembedahan kecil pada tangannya ekoran bernanah pada Khamis lalu.
"Saringan COVID-19 dilakukan ke atas pesakit sebagai prosedur hospital dan dimasukkan ke pusat kuarantin di wad B1 Hospital Lama Sungai Petani setelah keputusan swab positif diperoleh pada Jumaat lalu.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang mengenal pasti punca jangkitan kontak rapat lelaki itu di mana kes itu masih disiasat," katanya.
Beliau berkata, satu pasukan khas digerakkan untuk mengesan lelaki terbabit di rumahnya di Taman Bandar Baru Sungai Lalang namun, tiada di rumah.
Katanya, KKM juga telah dimaklumkan untuk mengesan lelaki terbabit.
"Sekiranya dia ditemui, kita akan hubungi pihak KKM untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Artikel asal di Sinar Harian: Pesakit positif Covid-19 lari dari wad hospital
#COVID-19 #pesakit lari dari wad #Adzli Abu Shah #pembedahan kecil #penyakit berjangkit #Kementerian Kesihatan #Hospital Sungai Petani #Azizi Sarip
;