Pesakit mental terjatuh dari tingkat sembilan Hospital Selayang
Sinar Harian
Mac 14, 2024 05:30 MYT
Mac 14, 2024 05:30 MYT
SELAYANG: Seorang pesakit lelaki yang menghidap masalah mental terjatuh dari tingkat sembilan Hospital Selayang pada Rabu.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Samsudin berkata, pesakit berusia 32 tahun itu dimasukkan ke wad 9D susulan pengambilan ubat berlebihan.
Menurutnya, lelaki berkenaan mempunyai masalah kesihatan mental yang serius dan mengambil rawatan di salah sebuah fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Menurut saksi kejadian, sekitar jam 7.45 petang, pesakit telah bertindak agresif dan dalam tempoh masa yang singkat berjaya memisahkan restrainer (penahan) pada kedua-dua belah tangannya dari katil dan melompat keluar melalui tingkap serta terjatuh ke aras 4.
"Saksi kejadian tidak sempat menghalang kerana kejadian berlaku begitu pantas," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas Ummi Kalthom, jururawat yang bertugas mengaktifkan 'Code Rainbow' melalui operator dan Unit Keselamatan Hospital Selayang bergegas mendapatkan pesakit terbabit.
"Pesakit dibawa ke Zon Resus, Bahagian Kecemasan dan Trauma serta dirawat di Unit Rawatan Rapi dan berada dalam keadaan stabil.
"KKM amat kesal dan mengambil serius terhadap kejadian tersebut.
"Adalah menjadi keutamaan KKM, keselamatan pesakit dan perkhidmatan yang diberikan mengikut standard yang ditetapkan," katanya. - Sinar Harian