Pesakit mental nyaris maut bakar diri dengan petrol

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 7, 2019 15:10 MYT
Semakan polis mendapati mangsa mempunyai rekod rawatan psikiatri di sebuah klinik. - Gambar hiasan
Seorang pesakit mental wanita bertindak membakar dirinya menggunakan minyak petrol dalam kejadian di Kuaters Kerajaan Negeri, Jalan Air Itam di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Rabu, wanita berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan serius selepas terbakar hampir 40 peratus badannya termasuk bahagian muka, badan, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian disedari abang mangsa yang ketika itu berada di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan adiknya yang berada di luar rumah.
Katanya, sebaik sahaja melihat adiknya terbakar, abang mangsa yang berusia 31 tahun itu cuba memadamkan api dengan menyimbah air dengan dibantu dua anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.
Abang mangsa sebelum itu telah menghubungi ambulans selepas mendapati terdapat kesan luka torehan dengan pisau pada dada adiknya yang didakwa berlaku pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, sebelum sempat ambulans tiba, wanita itu bertindak keluar dari rumah dan membakar diri menggunakan minyak petrol yang dijumpai di dalam botol.
Menurut Che Zaimani, wanita itu kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan semakan lanjut mendapati dia mempunyai rekod rawatan psikiatri di sebuah klinik.
Tambahnya, wanita itu tinggal bersama ibunya di rumah berkenaan namun pada hari kejadian berada di Kuala Lumpur kerana urusan keluarga.
"Memandangkan mangsa mempunyai kad psikiatri, pihak polis akan merujuk kes itu kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya terhadap wanita tersebut," katanya.
#bakar diri #minyak petrol #Sakit Mental
;