Pesakit mental lari kuarantin untuk pulang ke rumah
Adie Sufian Zulkefli
September 1, 2020 21:26 MYT
September 1, 2020 21:26 MYT
Seorang pesakit mental yang menjalani kuarantin COVID-19 di Hospital Alor Setar (HAS) cuba melarikan diri untuk pulang ke rumahnya pada Selasa.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, dia bagaimanapun berjaya dikejar dan dikepung pengawal keselamatan serta polis di kawasan taman berhampiran Wisma Darul Aman tidak jauh dari hospital berkenaan.
Pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) kemudian datang membawanya pulang ke hospital menaiki ambulans.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Md Noor berkata, lelaki berusia 38 tahun itu berhasrat untuk pulang ke rumahnya di Kepala Batas.
Katanya, siasatan mendapati dia sebelum ini adalah pesakit wad psikiatrik di hospital berkenaan namun dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana perlu menjalani pembedahan apendiks.
"Ketika di ICU, terdapat seorang pesakit lain yang positif COVID-19 dirawat di situ.
"Berikutan itu, dia menjalani ujian saringan dan didapati negatif. Bagaimanapun dia perlu menjalani kuarantin di HAS bermula 31 Ogos sehingga 12 September ini," katanya di sini, hari ini.
Katanya, kejadian pagi tadi adalah kali kedua selepas cubaan pertama jam 9.15 malam tadi digagalkan pengawal keselamatan dan polis.
Beliau berkata, pesakit berkenaan yang mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun turut pernah cuba melarikan diri ketika dirawat di wad psikiatrik termasuk melalui siling sebelum ini.
#Alor Setar
#Hospital
#ICU
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#KKM
#pesakit mental
#siasatan
#ujian saringan
#unit rawatan rapi