Pesakit mental kehabisan ubat mengamuk cederakan alat sulit sendiri
Angelina Sinyang
Mac 5, 2020 22:06 MYT
Mac 5, 2020 22:06 MYT
Gara-gara kehabisan ubat seorang lelaki dipercayai pesakit mental mengamuk dan mencederakan alat sulitnya sendiri dalam tandas di sebuah rumah sewa di Jalan Lai Chee di sini hari ini.
Kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi tadi apabila mangsa berusia 25 tahun berada terlalu lama dalam tandas sehingga membimbangkan ibunya.
Bimbang perkara buruk berlaku, ibunya meminta mangsa keluar dari tandas dan terkejut mendapati ada darah dalam mangkuk tandas selepas anaknya keluar dari situ.
Pihak paramediks yang dihubungi kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke hospital mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, mangsa bersama ibunya datang dari Roban untuk pergi mengambil bekalan ubat di Hospital Sibu semalam.
Disebabkan tiada pengangkutan untuk ke hospital maka mereka terpaksa menginap di rumah sewa adik mangsa dan tidak sempat mengambil ubat pada hari sama.
Kerana tidak mengambil ubat, mangsa mengalami tekanan dan mencederakan kemaluannya menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan mangsa telah dirujuk kepada Hospital Sibu kerana melibatkan kes psikiatrik.
#cederakan alat sulit
#Hospital Sibu
#Jalan Lai Chee
#kehabisan ubat
#mengamuk
#pesakit mental
#Polis Daerah Sibu