Pesakit kopi 'beracun' dibenarkan keluar hospital

Astro Awani
Februari 6, 2018 18:12 MYT
Sehingga hari ini, tiada kejadian terbaru dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan berhubung kes tersebut.
Dua lelaki yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah mengadu pening dan muntah-muntah akibat minum kopi pracampuran pada Ahad lalu telah dibenarkan pulang petang semalam.
Pengarah HPP, Datuk Dr. Norshida Ismail berkata, mereka adalah antara tujuh individu yang dikejarkan ke HPP sejak 27 Januari lalu selepas mengalami gejala seperti sawan dan letih teruk selepas meminum kopi berperisa durian yang disyaki mengandungi dadah.
Dr Norshida berkata, sehingga hari ini, tiada kejadian terbaru dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan berhubung kes tersebut.
"Kes ini di bawah siasatan pihak polis dan telah keluar dari hospital kira-kira pukul 7 petang kelmarin," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.
Pada Ahad lalu dua lelaki itu dikejarkan ke hospital selepas beberapa minit meminum minuman kopi segera.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar dalam kenyataannya berkata, kedua-dua mangsa adalah pekerja di sebuah syarikat pembersihan di negeri itu.
Katanya, salah seorang mangsa mendakwa kopi tersebut diberikan oleh rakannya iaitu seorang lelaki warga Bangladesh yang menemui bungkusan kopi berkenaan di dalam tong sampah.
Anuar berkata, hasil analisa mendapati kopi tersebut mengandungi bahan asing dipercayai dadah namun belum diketahui jenisnya.
Kopi tersebut diberikan secara percuma oleh individu tidak dikenali.
#Dadah #Datuk Dr Norshida Ismail #Hospital #Hospital Pulau Pinang #Kopi beracun #Pengarah Hospital Pulau Pinang
;