Pesakit ketumbuhan otak agresif, adik Luth meninggal dunia
Astro Awani
Jun 28, 2023 18:00 MYT
Jun 28, 2023 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang berdepan penyakit ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM), Luth atau nama sebenarnya Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita ini disahkan menerusi laman Instagram Luthfighterboy memaklumkan kanak-kanak berusia empat tahun ini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor.
“Dengan nama Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang, dukacita kami ingin maklumkan bahawa Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff sudah kembali ke rahmatullah jam 12.14 tengah hari.
“Kami sekeluarga menerima takdir ini dengan reda dan mohon semua mendoakan roh Allahyarham Luth ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dikasihi Allah SWT. Mommy (ibu) akan sentiasa bersama Luth sayang,” kata kapsyen dalam hantaran gambar di IG.
Dalam muat naik Instagram Story @luthfighterboy melaporkan jenazah dimandikan serta disolatkan di Masjid Puncak Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam di Kuala Selangor selepas solat Asar.
Solat jenazah disempurnakan oleh ayah Allahyarham, Muhammad Aliff dan dihadiri kira-kira 500 jemaah.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Luth telah didiagnosis penyakit jarang jumpa itu pada 31 Januari lalu dan sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan.
Bagaimanapun, ibunya Mas Hazirah Saifuddin, 33, berkata, ketumbuhan itu dikesan masih aktif dan agresif sehingga menganggu kesihatannya sebelum dimasukkan ke hospital dan ditidurkan sementara pada 17 Jun lalu.
Terdahulu, penderitaan Luth menarik perhatian rakyat Malaysia yang bersimpati yang memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta untuk mendapat rawatan di luar negara.
#Glioblastoma Multiforme
#Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff
#Luthfighterboy
#Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam