Pesakit kanser jahit PPE, bantu barisan hadapan
Adie Sufian Zulkefli
April 3, 2020 15:28 MYT
April 3, 2020 15:28 MYT
ALOR SETAR: Menyedari petugas perubatan di barisan hadapan yang memerangi COVID-19 memerlukan stok pakaian perlindungan diri (PPE) yang banyak, kumpulan pesakit dan bekas pesakit kanser tampil membantu.
Mereka yang bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cancer Survivor Malaysia (CSM), dengan dibantu beberapa tukang jahit lain mengerah keringat menjahit sendiri PPE untuk disumbangkan kepada petugas beberapa fasiliti perubatan di negeri ini.
Sejak projek itu dimulakan tiga hari lalu, mereka sudah menghasilkan lebih 1,600 PPE dan kini sasaran pengeluaran ditetapkan sebanyak 500 unit setiap hari.
Penaung CSM, Zuraini Kamal, yang juga bekas pesakit kanser berkata, ahli CSM seluruh negara bersemangat untuk menjayakan projek itu kerana ingin turut serta memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang menggadai nyawa untuk menyelamatkan orang lain.
“Sebagai pesakit dan bekas pesakit kanser, kami melihat sendiri betapa banyak jasa golongan doktor dan jururawat membantu kami sepanjang menjalani rawatan.
“Sekarang inilah masanya kami membalas budi mereka dengan memberi sumbangan PPE untuk kegunaan mereka ketika melawan COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Kedah, pada Khamis.
Zuraini berkata, PPE yang siap akan diagihkan di Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selain Klinik Kesihatan (KK) Bandar Alor Setar, KK Tunjang dan KK Simpang Kuala.
“Selain PPE, kami turut menyediakan makanan untuk petugas barisan hadapan selain menyumbangkan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Nurdalyla Osman Manah, 30, berkata sekiranya dia tidak sempat menyiapkan jahitan PPE di bengkel jahitannya di Kuala Kedah, dia akan membawa semua peralatan dan bahan pulang ke rumah.
"Kami mahu sumbangkan tenaga kami yang tak seberapa ini kepada barisan hadapan dengan harapan mereka lebih tabah dan cekal. Mereka perlu kekal bersemangat dan kami mahu mereka sedar rakyat Malaysia menyokong mereka,” katanya.