Pesakit kanak-kanak tidak perlu ke luar negara untuk jalani pemindahan hati
Astro Awani
September 12, 2014 20:34 MYT
September 12, 2014 20:34 MYT
Kementerian Kesihatan meminta pesakit hati di negara ini tidak menjalani pembedahan pemindahan hati di luar negara yang memakan perbelanjaan tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pembedahan pemindahan hati untuk kanak-kanak dari penderma hidup boleh dilakukan di hospital kerajaan dengan kos yang amat minima.
"Ini seterusnya menggugurkan keperluan untuk mengumpul dana dari orang ramai bagi membiayai
pembedahan tersebut di luar negara.
"Pembedahan pemindahan hati boleh dijalankan di Hospital Selayang dengan caj yang dikenakan tidak melebihi RM500.
"Penjawat awam, pesara dan juga ahli keluarga pesara perkhidmatan awam tidak dikenakan sebarang bayaran mengikut peraturan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham mengulas laporan beberapa media mengenai kes ibu bapa seorang kanak-kanak, Putra Muhammad Ilyas. yang menghidap penyakit ‘atresia biliari‘, iaitu saluran hempedu tidak sempurna sehingga menyebabkan kerosakan hati.
Pasangan itu turut meminta bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan sebanyak RM150,000 untuk anaknya yang berusia dua tahun dan akan dilakukan di sebuah hospital di New Delhi, India.
Jelas Dr. Noor Hisham, pembedahan pemindahan hati, baik dari penderma yang masih hidup mahupun dari penderma yang telah meninggal dunia, boleh dan telah pun dijalankan di Hospital Selayang sejak tahun 2002.
"Penderma yang masih hidup lazimnya terdiri daripada ahli keluarga terdekat termasuk ibu-bapa kepada pesakit.
"Pembedahan dari penderma yang masih hidup boleh dilakukan secepat mungkin tanpa menunggu dengan syarat penderma sesuai [compatible] untuk menderma organnya dan juga keadaan klinikal pesakit adalah optimum dan mengizinkan.
"Proses ini bertujuan memastikan keselamatan kedua dua penderma dan penerima yang terlibat terjaga dan diberi keutamaan," jelasnya.
Sehubungan itu katanya, proses penentuan kesesuaian penderma dan penerima sememangnya memerlukan tempoh tertentu yang minima untuk dilaksanakan.
"Sekiranya tiada ahli keluarga yang bersedia untuk mendermakan organ semasa hidup, pesakit akan disenaraikan untuk menerima organ dari penderma yang telah meninggal dunia dan ini akan mengambil masa yang lebih panjang kerana pesakit perlu menunggu giliran," ujarnya.
Ujarnya, buat masa ini, terdapat 14 pesakit yang sedang menunggu untuk pemindahan hati dari penderma yang telah meninggal dunia dan lebih 18,368 pesakit yang menunggu untuk pemindahan buah pinggang.
"Jumlah penderma organ yang telah meninggal dunia adalah rendah di Malaysia menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu lama.
"Terdapat 30-44 penderma organ dari penderma yang meninggal dunia setahun dan kadar pendermaan organ di Malaysia hanya sekitar 0.6 pendermaan bagi setiap juta penduduk," jelasnya.
Oleh itu katanya, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha menggalakkan lagi rakyat Malaysia untuk menderma organ selepas kematian demi menyelamatkan nyawa pesakit termasuk kanak-kanak seperti adik Putra Muhammad Ilyas.