Pesakit COVID-19 tahap satu dan dua dirawat, kuarantin di rumah

Bernama
Januari 12, 2021 14:34 MYT
Dr Adham berkata pesakit tahap satu dan dua itu akan diberikan tempoh selama 10 hari, untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan, pesakit COVID-19 tahap satu dan dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Jan lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata pasukan khas telah diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.
Bagaimanapun katanya, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.
"Tindakan ini dilaksanakan kerana kita perlu cepat untuk buat rawatan dan pengasingan terhadap kes positif dan dengan ini, KKM akan terus buat pengesanan kontak bagi melandaikan lengkuk COVID-19," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 KKM di sini, hari ini.
Dr Adham berkata pesakit tahap satu dan dua itu akan diberikan tempoh selama 10 hari, untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.
"Ujian saringan akan dibuat pada hari ke-10 di rumah masing-masing dan jika mereka negatif, ini bermaksud mereka telah bebas dari COVID-19," katanya.
Dr Adham berkata pihaknya akan menilai keluasan rumah serta bilangan isi rumah yang ada, sebelum membenarkan pesakit COVID-19 tahap satu dan dua terbabit menjalani rawatan di rumah masing-masing.
"Pasukan penilai telah diwujudkan bagi meneliti kesiapsiagaan isi rumah serta keadaan rumah, kerana jika rumah kecil, pesakit akan dibawa ke hospital.
"Sekiranya fasiliti rumah mencukupi dan ada bilik untuk diasingkan, serta keluarga memahami isu kuarantin dan pengasingan, selain memahami prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM, mereka akan dirawat di rumah," katanya.
Ditanya bilangan pesakit yang telah menjalani rawatan dan kuarantin di rumah setakat ini, Dr Adham berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan perincian berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.
Dr Noor Hisham pada 4 Jan lepas dilaporkan berkata, KKM mempertimbangkan untuk mengasing dan mengkuarantin pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan di rumah, memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada semakin terhad, susulan peningkatan kes harian yang tinggi.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesihatan #KKM #pesakit COVID-19 #tahap satu dan dua #kuarantin di rumah #petugas kesihatan #CPRC #Dr Adham Baba #Menteri Kesihatan
;