Pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 meningkat 15 peratus - Dr Adham Baba

Astro Awani
Mei 27, 2021 16:46 MYT
Pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 dilaporkan meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 5 peratus sebelum ini. - Gambar fail/KKM
KUALA LUMPUR: Pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 dilaporkan meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 5 peratus sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peningkatan itu dikesan antara minggu ke-17 hingga minggu ke-20.
"Pesakit COVID-19 yang dalam tahap 4, dan 5 meningkat akhir-akhir ini bagi minggu 17, 18, 19 dan 20.
"Kehadiran mereka di tahap 4, 5 kebelakangan ini meningkat kepada 15 peratus berbanding dahulu hanya 5 peratus," katanya dalam sidang media melalui aplikasi Zoom pada Khamis.
Mereka yang berada pada tahap 4 biasanya memerlukan rawatan oksigen, manakala pesakit pada tahap 5 akan diventilasi.
Ketika ini katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati gelombang ketiga pandemik menjangkiti lebih ramai kumpulan berusia 20 hingga 40 tahun serta 40 hingga 60 tahun.
Justeru, beliau menasihatkan mereka yang dijangkiti COVID-19 agar sentiasa berwaspada dan segera menghubungi fasiliti kesihatan jika mengalami gejala yang teruk semasa menjalani kuarantin di rumah.
"Kita cadang supaya mereka dijangkiti supaya berwaspada. Kita akan pantau kalau mereka di PKRC atau di hospital.
"Mereka yang berada di rumah, atau tidak bergejala pada peringkat awal, tetapi terus ke tahap 4 dan 5 terus segera hubungi fasiliti kesihatan," ujarnya.
#KKM #COVID-19 #pandemik #PKRC #pesakit #tahap 4 #tahap 5 #kritikal #Dr Adham Baba
;