Pesakit COVID-19 di PKRC Kelantan disaji menu bertaraf hotel
Muhafandi Muhamad
Mei 27, 2021 10:14 MYT
Mei 27, 2021 10:14 MYT
KOTA BHARU: Menu bertaraf hotel dengan pelbagai pilihan lauk makanan disajikan kepada penghuni di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) seluruh Kelantan.
Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Azizah Zakaria berkata RM25 sehari dibelanjakan untuk setiap penghuni dan petugas barisan hadapan yang disediakan oleh 14 penyedia makanan yang dilantik.
"Kalau kita tengok harga makanan ini adalah untuk empat hidangan sehari.
"Pagi kami sediakan nasi lemak, makan tengah hari dan makan malam nasi serta dua lauk utama serta minum petang yang mengandungi dua jenis kuih serta air.
"Makanan dan minuman untuk empat kali sehari itu disediakan kepada 2,000 penghuni dan petugas di semua PKRC seluruh Kelantan bermula seawal jam 7.30 pagi," katanya.
Menu yang pelbagai itu mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan bagi memastikan penghuni PKRC mendapat gizi seimbang dan berkhasiat.
Sepanjang lebih setahun pengagihan dan pengendalian makanan di PKRC ini, tiada aduan keracunan makanan atau sebagainya diterima oleh pihak JKM.