Pesakit COVID-19 di hospital swasta semakin berkurangan - APHM

Bernama
Oktober 6, 2021 19:02 MYT
Menurut Dr Kuljit Singh, keadaan semakin baik apabila hospital swasta kini mulai merawat pesakit biasa yang bukan COVID-19 dalam jumlah yang lebih besar. - Foto: Prince Court
KUALA LUMPUR: Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital swasta sama ada di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau wad biasa kini semakin berkurangan, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh.
Beliau berkata, jumlah itu mulai berkurang sejak dua minggu lepas, terutamanya di Lembah Klang.
Selain pesakit COVID-19, beliau berkata hospital swasta mempunyai jumlah pesakit yang lebih rendah berbanding hospital awam, semasa kemuncak krisis COVID-19 kira-kira dua bulan lepas.
"Lebih 3,500 pesakit bukan COVID-19 yang melalui proses penyumberluaran dan dirawat di hospital swasta di Greater Klang Valley dan proses tersebut yang sedang berlangsung di Pulau Pinang adalah sekitar 203 orang manakala penyumberluaran bagi pembedahan dan prosedur pilihan di negeri berkenaan adalah sekitar 713, sejak pandemik.
"Ini merupakan antara jumlah pemindahan pesakit terbesar ke hospital swasta yang secara signifikantelah membantu hospital awam menguruskan COVID-19 pada waktu puncak kira-kira dua bulan lepas," kata Dr Kuljit dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, keadaan semakin baik apabila hospital swasta kini mulai merawat pesakit biasa yang bukan COVID-19 dalam jumlah yang lebih besar dan menguruskan keadaan kesihatan yang tertangguh disebabkan wabak itu, tambahnya.
"Keadaan sama berlaku di beberapa hospital awam di Greater Lembah Klang yang kini mulai menerima pesakit bukan COVID-19 dan proses penyumberluaran ke hospital swasta semakin berkurangan," kata Dr Kuljit.
Dengan perkembangan terkini, beliau berharap agar hospital swasta dapat segera membantu melancarkan pemberian vaksin remaja dan vaksin penggalak untuk golongan yang memenuhi syarat, termasuk penyedia perkhidmatan kesihatan, ketika ekonomi kembali rancak dalam fasa endemik.
Dr Kuljit juga berharap agar pelancong perubatan dari negara-negara jiran dibenarkan dalam tempoh terdekat, terutama mereka yang telah melengkapkan vaksin, sambil menambah bahawa langkah itu akan membantu meningkatkan pendapatan negara.
-- BERNAMA
#hospital swasta #pesakit COVID-19 #APHM #Dr Kuljit Singh
;