Pesakit COVID-19 cabul jururawat ditahan sebaik disahkan sembuh

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 18, 2021 18:14 MYT
Suspek ditahan selepas dibenarkan keluar wad pada Isnin lalu dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat. - Gambar hiasan
BUTTERWORTH: Padah mencabul seorang jururawat wanita dengan mengusap jarinya di Hospital Kepala Batas, di sini, seorang pesakit COVID-19 yang baru disahkah pulih ditahan polis.
Lelaki berusia 55 tahun itu dipercayai cuba melakukan gangguan seksual terhadap mangsa yang berusia 24 tahun ketika prosedur pemeriksaan paras gula dalam darahnya di sebuah wad COVID-19 kira-kira jam 11.30 pagi pada 8 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek ditahan selepas dibenarkan keluar wad pada Isnin lalu dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat.
"Ketika kejadian, suspek didakwa melakukan perbuatan mengusap jari jururawat berusia 24 tahun itu sambil dengan nada manja bertanya sama 'sedap' atau tidak.
''Pengadu yang terkejut dengan insiden tersebut menarik tangannya dengan kuat dan berjaya melepaskan tangannya yang dicengkam lelaki itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum suspek ditahan sebaik dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.
Katanya, suspek akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
#pesakit COVID-19 #cabul jururawat #usap jari #sedap #ditahan polis #mahkamah #Hospital Kepala Batas
;