Pesakit buah pinggang dijangka meningkat sehingga 106,000 orang menjelang 2040
Bernama
Ogos 18, 2019 15:21 MYT
Ogos 18, 2019 15:21 MYT
Bilangan pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat sehingga 106,000 orang menjelang tahun 2040, kata Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah.
Beliau berkata, menurut data National Renal Registry Malaysia pada penghujung tahun 2016 terdapat 39,711 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.
"Jumlah itu, bagaimanapun, akan terus meningkat berlipat kali ganda pada setiap tahun.
"Lebih membimbangkan, 64 peratus pesakit buah pinggang yang menerima rawatan dialisis adalah penghidap diabetes atau kencing manis," katanya dalam sidang media selepas merasmikan laman rasmi Facebook Page, MYBuahPinggang, di sini, hari ini
Pada masa sama, Dr Bahari turut menggalakkan pesakit kronik buah pinggang tahap 5 menerima rawatan Peritoneal Dialisis berbanding Hemodialisis.
Menurutnya, Peritoneal Dialisis atau proses cuci air di dalam rongga perut adalah pilihan dialisis yang memberi kualiti hidup yang lebih baik jika dibandingkan dengan hemodialisis (cuci darah).
"Buat masa ini, kami masih lagi memberi kebebasan kepada pesakit untuk memilih jenis rawatan dialisis. Rawatan ini telah dimulakan sejak 1960-an cuma ia tidak popular sebab tidak diuar-uarkan kepada masyarakat.
"Hanya 13 peratus pesakit baru buah pinggang yang menerima kaedah rawatan ini pada 2016 berbanding 10 peratus pada 2011. Untuk itu, kami menyasarkan 30 ke 40 peratus pesakit akan menggunakan kaedah rawatan ini bermula tahun ini," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kaedah terbaik dalam merawat masalah buah pinggang adalah melalui transplan atau pemindahan buah pinggang, namun, tahap kesedaran masyarakat di negara ini terhadap pendermaan organ masih rendah.
"Sekarang, nisbah tiga penderma untuk sejuta penduduk di seluruh negara dan jumlah ini amat menyedihkan, katanya.
"Walaupun pemindahan organ dibenarkan dalam agama, tetapi masyarakat masih lagi skeptikal mengenai perkara itu. Oleh itu, kami menyasarkan 100 penderma buah pinggang sehingga penghujung tahun ini," katanya.
Sementara itu, laman rasmi Facebook Page MYBuahPinggang mula dibangunkan sejak 2 Julai lepas hasil perbincangan Pakar Perunding Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Dr Lily Mushahar dengan tiga lagi pakar Perunding Nefrologi iaitu Dr Suryati Yakob, Dr Nor Fadhlina Zakaria dan Dr Rafidah Abdullah.
Ia turut diselenggarakan tiga pesakit yang menjalani Peritoneal Dialisis iaitu Peter Tan, Shazwali Taib dan Dr Mohd Reduan Buyong.
"Penggunaan laman ini adalah sebagai platform dalam memastikan hanya informasi yang berfakta dan tepat disampaikan kepada masyarakat," katanya. - BERNAMA
#2040
#buah pinggang
#kencing manis
#National Renal Registry Malaysia
#pesakit buah pinggang meningkat