Pesakit AIDS juga manusia, dekati mereka. Agenda AWANI 9 malam ini

Israr Khalid
Disember 1, 2021 18:33 MYT
Perbincangan khusus sekitar senario penyakit AIDS di Malaysia sempena Hari AIDS Sedunia hari ini.
KUALA LUMPUR: Sejak ia mula-mula dikesan pada awal 1980-an, HIV telah membunuh lebih daripada 36.3 juta nyawa di seluruh dunia.
HIV adalah sejenis virus yang menyerang imun khususnya sel T sehingga tubuh manusia tidak mampu melawan penyakit dan membawa kepada bentuk jangkitan paling teruk yang dipanggil AIDS.
Dianggarkan sekitar 37.7 juta individu hidup dengan HIV setakat 2020. Penyakit ini tiada ubatnya, namun teknologi perubatan hari ini dapat memberikan mereka peluang untuk hidup panjang dan sihat seperti orang lain.
Namun sebenarnya hidup mereka tidak seperti orang lain yang tiada HIV/AIDS. Stigma yang lama terbuku dalam masyarakat membuatkan mereka ini sebenarnya cukup terasing.
Tambah-tambah lagi jurang antara kelas masyarakat menyebabkan maklumat sebenar tentang HIV/AIDS tidak dapat sampai secara meluas dan difahami sebaiknya oleh setiap anggota masyarakat, tidak kira mereka yang terlibat atau tidak.
Maka golongan tidak bernasib baik ini terus terpisah dari masyarakat, takut didekati lantas menyukarkan usaha untuk menangani seterusnya membendung virus ini daripada terus meluas.
Memang mereka berpenyakit, namun terkadang kita lupa bahawa mereka yang menghidap HIV/AIDS ini juga manusia, yang mahu difahami, didekati dan dibantu. Mereka tidak boleh dibiarkan.
Sempena Hari AIDS Sedunia tahun ini, pentas Agenda AWANI membawakan Timbalan Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia, Dr. Nur Afiqah Mohd Salleh dan Pengarah Kerjasama Strategik Karex Berhad, Azryn Azhari Arshad untuk berbicara tentang bagaimana untuk menambah baik usaha pencegahan dan rawatan penyakit tersebut di negara ini.
Jam 9 malam ini hanya di saluran 501 dan astroawani.com.
#Agenda Awani #AIDS #HIV #Hari AIDS Sedunia #Majlis AIDS Malaysia #Karex Berhad
;