Perwakilan PAS Pulau Pinang kecewa

Arfa Yunus
November 23, 2013 05:20 MYT
Perwakilan PAS Pulau Pinang menggunakan pentas Muktamar Tahunan PAS ke-59 untuk menyatakan rasa kecewa mereka terhadap layanan yang diberikan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP.
Wakil Pulau Pinang, Mohd Nor Haron berkata layanan yang tidak adil itu merupakan punca pihaknya membuat sidang media baru-baru ini.
Dalam pada itu, Haron turut menyuarakan pendapat sama yang dilontarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.
Beliau mempersoalkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dilihat sebagai penumpang.
"Adakah kalian sanggup menjadi penumpang dalam Pakatan Rakyat? Saya harap selepas ini kita (PAS) akan menjadi pemandu pula," kata Haron.
Sementara itu, Wakil Johor, Firdaus Masood pula meminta pihak PAS Pusat untuk menyatakan identiti Pengerusi sebenar PR.
"Kami mahukan pengumuman rasmi untuk menyatakan siapa Pengerusi Pakatan Rakyat kerana kami mahu tahu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas PRU14 nanti. Adakah orang itu daripada PAS, Keadilan atau DAP? Itu yang kami mahu tahu," kata Firdaus.
Disamping itu, beliau turut melontarkan pendapat bahawa kegagalan PR menukar barisan kepimpinannya menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.
"Tawaran yang di buat dalam Buku Jingga (manifesto PR) terlalu besar sehingga rakyat rasa was-was. Barisan Nasional juga tidak membuat janji-janji sebesar itu. Ini antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam menghadapi PRU14 nanti," tambah beliau.
#DAP #Muktamar Tahunan PAS ke-59 #PAS #PAS Pulau Pinang #PKR