Perutusan Tahun Baru Perdana Menteri
Najib Tun Razak
Disember 31, 2013 18:27 MYT
Disember 31, 2013 18:27 MYT
Di ambang 2013 yang bakal meninggalkan kita, marilah kita merenung kembali setahun yang lalu – dan melakar janji masa depan yang baru dengan kedatangan 2014.
Dua belas bulan yang lalu, kita bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 dalam sejarah negara kita. Kita bersyukur apabila Barisan Nasional telah sekali lagi diberikan mandat. Kita punyai rancangan yang mantap untuk masa depan negara, dan kita telah bekerja keras untuk meyakinkan rakyat tentang wawasan kita.
Kemenangan ini telah memperbaharui rasa tanggungjawab saya terhadap setiap rakyat Malaysia – bukan hanya kepada mereka yang mengundi Barisan Nasional semata.
Dalam pilihanraya yang sengit seperti itu, ketegangan memang lumrah; kita merasakan persis masa depan negara sedang dipertaruhkan. Pilihanraya kita berlangsung dalam aman: dengan seluruh mata dunia memerhati kita. Malaysia telah membuktikan bahawa kita mendakap demokrasi secara hakiki. Namun begitu kita juga punya pendapat berbeza, yang kadang-kadang pahit untuk ditelan, tentang halatuju yang patut diambil oleh negara.
Ini juga sebenarnya satu perkara biasa. Pilihanraya adalah medan pertandingan wawasan untuk sesebuah negara. Rakyat bebas memilih halatuju yang mereka ingini, dan mempertahankan pilihan mereka. Inilah intipati sebenar demokrasi. Namun kali ini, emosi kita lebih daripada biasa. Jika dulu hanya ada perbezaan pendapat, kali ini kita berpecah-belah. Adakalanya, ahli-ahli politik, media – dan kadang-kadang masyarakat umum – bertindak keterlaluan.
Apabila saya bercakap tentang ‘tsunami Cina’ pada malam pilihanraya, saya maksudkan gelombang sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional telah luntur. Ini jelas menunjukkan betapa kita dicengkam polarisasi sehingga komen saya telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.
Saya percaya Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan jadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadijiran-jiran, rakan-rakan sekerja – dan sahabat-sahabat kita. Namun saya juga percaya bahawa kita harus memperkukuhkan komitmen kita terhadap perpaduan yang selama ini menjadi asas kukuh negara kita.
Kita harus aktif dalam usaha menggapai perpaduan. Kestabilan dan kemajuan kita bergantung kepada tampuk perpaduan ini. Di atas paksi yang sama, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Perpaduan Negara, yang akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh kita lakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia.
Tanggungjawab kerajaan – dan keutamaan saya – adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung kepada faktor-faktor ini. Membina semula perpaduan negara, dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini. Apabila tahun baru menjelma, anda akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana kerajaan akan melaksanakan dasar ini.
Bercakap tentang tahun baru, saya percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang untuk kita.
Dengan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia yang kedua, kita akan menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan-perniagaan baru akan dibuka, dan pelaburan-pelaburan baru akan direalisasikan. Ekonomi kita, yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramalkan berkembang hingga 5.5%.
Namun di sebalik angka-angka ini, saya sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014: bimbang dalam usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah akan menghadapi tekanan.
Saya faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata.
Kepada anda yang bimbang mengenai kos sara hidup, izinkan saya memberi sepatah dua kata tentang ekonomi dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada anda.
Pertama, kita tidak akan menandatangani atau mempersetujui sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar sewenang-wenangnya. Program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat selama bertahun-tahun lama, tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini tiba masa untuk kita melangkah ke hadapan. Kita perlu merasionalkan subsidi dan mensasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.
Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kita perlu menguruskan kedudukan fiskal untuk memastikan kestabilan ekonomi negara.
Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan bagaimana serius kesan dan akibat kepada negara-negara di mana kewangan mereka tidak dibina atas asas yang kukuh: jika pelabur-pelabur dan agensi-agensi mengambil keputusan bahawa negara-negara tersebut tidak mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga berada di luar kawalan. Tanpa akses kepada kredit, sesebuah negara dan rakyatnya akan menanggung implikasi yang besar. Sebagai contoh, lebih separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah tidak mempunyai pekerjaan.
Di bawah kepimpinan BN, Malaysia telah berkembang dengan pesat – pendapatan per kapita telah meningkat sehingga 49% dalam tempoh empat tahun lepas. Kita terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh – kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.
Kita harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal. Dan kita perlu mengimbangi program ini seluas mungkin agar beban dapat diagih dengan saksama.
Kedua: kita akan berusaha sekuat upaya untuk meminimakan kesan kepada rakyat. Berdasarkan maklum balas awam, kita akan menambahbaik program-program kerajaan di mana perlu, supaya kesan ke atas pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara. Kita akan melaksanakan beberapa mekanisma untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan tol. PEMANDU akan turut mengemukakan idea-idea baru untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Kita juga akan memastikan kadar kenaikan adalah adil. Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat. Namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik. Untuk kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur baru-baru ini pula, setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai telah dikurangkan sehingga 2% dan rebat tambahan diberikan kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni.
Kita tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Sejak minggu lepas, seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan telah layak untuk memohon pembayaran BR1M yang terkini. Kita juga akan membuka Kedai-Kedai 1Malaysia, serta Klinik 1Malaysia yang baru demi menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang berpatutan. Secara keseluruhan, pada tahun depan kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM42 bilion ke atas subsidi – hampir sama dengan jumlah yang kita belanjakan untuk pembangunan.
Dalam kita merasionalkan subsidi, kita turut memotong kos perbelanjaan. Kita telah mengumumkan 11 langkah mengurangkan perbelanjaan awam, termasuk mengurangkan kos elektrik di setiap jabatan sebanyak 5%, memperketatkan syarat dalam melantik juru runding, serta mengurangkan elaun tol dan keraian untuk para menteri dan penjawat awam. Kita juga turut mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian, agar ia jadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.
Dalam kita membuat persiapan untuk tahun baru, ia juga masa yang baik untuk kita mengimbas semula kenapa kita perlu melakukan perubahan-perubahan ini. Ia mungkin tidak popular dalam jangka masa pendek, jadi lebih mudah untuk kita mengekalkan status quo. Rakyat akan berkata terlalu banyak kos meningkat di mana polisi populis pasti kelihatan lebih menarik. Tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan dari sekarang. Saya bertekad untuk melakukan perkara yang tepat demi Malaysia dan rakyat negara ini. Kerana dengan bertindak secara bertanggungjawab dari sekarang, kita akan mengukuhkan ekonomi kita dalam jangka masa panjang – dan manfaatnya akan dapat dirasai dengan lebih meluas lagi.
Dengan merasionalisasikan subsidi, kita akan mengukuhkan kedudukan fiskal, membolehkan kita memberi fokus terhadap perbelanjaan kepada projek-projek pembangunan – termasuk kesihatan dan pendidikan – dan bergerak ke arah belanjawan seimbang menjelang 2020. Dengan mengadaptasi langkah-langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, kita bukan sahaja melindungi negara dari krisis kewangan, kita turut membuka peluang dan mewujudkan pekerjaan baru. Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baru. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat – dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.
Jika kita ingin menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kita perlu mengambil keputusan sukar lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular. Pada tahun 2009, kita telah memulakan perjalanan transformasi ekonomi dan kerajaan. Apabila 2014 menjelang, kita harus membina asas kejayaan Malaysia yang lestari, ekonomi yang lebih kuat dengan rakyat yang lebih bersatu-padu.
Selamat tahun baru kepada semua rakyat Malaysia.