Perutusan tahun baru Menteri Besar Selangor

Media Statement
Disember 31, 2015 00:01 MYT
MOHAMED AZMIN: Pembangunan Selangor akan kekal holistik, inklusif dan manusiawi.
Berikut adalah teks penuh perutusan tahun baru 2016 oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali:
Alhamdulillah, Negeri Selangor telah mencapai pelbagai kejayaan dalam tahun 2015. Kejayaan ini dicapai hasil dari perancangan yang dibuat tahun lalu dan telah dilaksanakan secara cekap dan bertanggungjawab dalam tahun ini. Apabila tirai tahun ini hampir ditutup, kejayaan terkumpul ditambah dengan gemilangnya apabila Selangor meraih kembali Piala Malaysia setelah 10 tahun terlepas daripada menjuarai kejohanan berprestij tersebut.
Kejayaan ini kesemuanya adalah milik rakyat Selangor. Demi untuk mencapai kejayaan; rakyat Selangor bersatu, berpadu dan bekerja keras. Mereka sedar perpecahan dan bekerja sambil lewa tidak akan mencipta kejayaan. Justeru itu, saya ucapkan syabas kepada rakyat Selangor kerana memiliki sikap positif dan memandang ke hadapan.
Tetapi kita jangan leka dibuai kejayaan. Kita perlu mengambil peringatan dari pesanan pengasas Intel, Andrew Grove yang berkata, “Success breeds complacency. Complacency breeds failure. Only the paranoid survive.” Tahun hadapan akan lebih mencabar dan persaingan akan menjadi lebih sengit. Maka, apabila fajar tahun 2016 menyinsing kita perlu bersedia bukan sahaja untuk bekerja dengan lebih kuat, tetapi juga dengan lebih smart.
Kita perlu mengambil pendekatan baru, melakukan anjakan paradigma dan membuat inovasi. Untuk berhadapan dengan tahun 2016, Selangor telah menyediakan belanjawan yang bertemakan “Membangun Smart Selangor Yang Peduli”. Gagasan dan perancangan yang terkandung dalam belanjawan tersebut perlu dilaksanakan dengan cekal dan kreatif.
Dengan memasuki era Smart State, Negeri Selangor berkemampuan untuk muncul sebagai negeri serantau di dalam wilayah yang paling dinamis dan berpotensi di dunia yang di dorong oleh permanent innovation. Justeru itu Internet Of Things (IoT) akan memainkan peranan penting dalam modernisasi prasarana pembangunan negeri.
Pembangunan Selangor akan kekal holistik, inklusif dan manusiawi. Perkembangan intelektual, seni dan sukan akan terus dirancakkan kerana dimensi ini akan memperkaya nilai-nilai kemanusiaan dan mencipta persekitaran kehidupan yang merangsang kreativiti dan penciptaan.
Marilah kita kekalkan perpaduan, membudayakan toleransi dan menikmati kepelbagaian. Ayuh kita hadapi tahun baru dengan keyakinan dan semangat kerja yang bertenaga lagi menggunakan kepintaran.
Selamat Tahun Baru.
#Menteri Besar Selangor #Mohamed Azmin Ali #perutusan tahun baru
;