Perutusan khas menteri, pemimpin negeri tekankan mesej patuh SOP sambut Aidilfitri

Bernama
Mei 12, 2021 07:02 MYT
Pelajar Madrasah Darussolihin mengalunkan takbir raya dan dimeriahkan dengan percikan bunga api menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan fotoBERNAMA di Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam malam tadi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ingatan agar rakyat mengamalkan pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) menjelang Aidilfitri hari ini, merupakan antara perkara utama yang ditekankan dalam perutusan khas perayaan itu oleh menteri kabinet dan pemimpin negeri, malam tadi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan, kesihatan diri dan keluarga tersayang perlulah dilindungi melalui pematuhan kepada undang-undang, SOP, serta tertib penjagaan kesihatan, yang berkesan sepanjang masa.
Amalan penjagaan kebersihan diri, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, seharusnya menjadi amalan harian, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Meskipun tanpa aktiviti kunjung mengunjung dan balik kampung seperti ditetapkan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam perutusannya pula berkata, orang ramai masih boleh saling bermaafan melalui alam maya di samping memastikan SOP sentiasa terjaga.
Biarpun Syawal kali ini terpaksa disambut ketika negara dan dunia masih dilanda pandemik COVID-19, namun setidak-tidaknya ia masih dapat disambut dalam suasana negara aman dan selamat, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam laman Instagramnya.
Ingatan agar terus mematuhi SOP turut disampaikan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, yang meminta rakyat supaya tidak alpa serta mengajak mereka mengambil peluang saling bermaaf-maafan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kekeluargaan yang sedia terjalin.
Mesej sama turut disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang berkata, semua garis panduan ditetapkan adalah bersebab, serta percaya bahawa keputusan berat ini terpaksa dibuat demi jaminan kesihatan awam lebih baik kepada rakyat.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan mesej senada dengan berkata, keselamatan dan kesihatan daripada COVID-19 perlu menjadi keutamaan dan ia selaras tuntutan agama.
Begitu juga Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor apabila beliau menyatakan kepentingan menjaga nyawa dan keselamatan ketika pandemik COVID-19 yang masih melanda, menyebabkan semua rakyat perlu menyambut Aidilfitri dalam norma baharu dan mematuhi SOP ditetapkan.
Sementara itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah diambil kerajaan itu bukan untuk menyekat kegembiraan dan keceriaan dalam meraikan kedatangan Syawal, sebaliknya bagi membendung penularan COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berharap rakyat Pahang terus cekal dalam peperangan menentang pandemik wabak COVID-19, yang diyakini akan membuahkan hasil menerusi usaha sama semua pihak.
Umat Islam perlulah terus berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT serta tidak berputus asa dengan ujian dihadapi akibat penularan wabak COVID-19, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menerusi perutusan Aidilfitri beliau.
Menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dalam perutusannya pula menyatakan golongan itu bertungkus lumus menjaga kesihatan dan keselamatan dalam situasi mencabar ini.
-- BERNAMA
#SOP #Hishammuddin Hussein #COVID-19 #keselamatan #perpaduan #Aidilfitri #Muhammad Sanusi Md Nor #pelitup muka #pandemik #Fadillah Yusof #Azmin Ali #undang-undang
;