Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana tiada pilihan lain selain lakukan digitalisasi segera

Firdaus Azil
Oktober 22, 2021 16:42 MYT
PMKS perlu mengambil kira consumer behaviour yang semakin hari semakin bergantung kepada penggunaan digital, malah sebelum COVID-19 bermula. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak mempunyai pilihan lain, selain mengadaptasi penggunaan digital dalam perniagaan mereka, kata Ketua Pegawai Bisnes Digital, Malaysia Digital Economi Corporation (MDEC), Aiza Azreen Ahmad.
Menurut beliau, sektor itu perlu mengambil kira perubahan tingkah laku pelanggan (consumer behaviour) yang semakin hari semakin bergantung kepada penggunaan digital, malah sebelum pandemik COVID-19 bermula.
Atas sebab itu, Aiza berkata, polisi ‘one size fits all’, tidak boleh diguna pakai untuk sektor ini, tetapi perlu ada program yang bersekali dengan intervensi bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi perubahan landskap perniagaan itu.
“Bercakap mengenai soal pemerkasaan, atau menukar perniagaan ini, ia bukan sekadar digitalisasi. Ia lebih ke arah usaha memastikan MSME faham tentang kepentingan digitalisasi.
Akan sentiasa ada program untuk menukar perniagaan mikro kepada perniagaan kecil sederhana, dan mungkin pada masa akan datang, ke arah penyenaraian (di Bursa).
“Tetapi keseluruhan proses transformasi ini, yang boleh saya kata dari 'ground zero', memerlukan mereka memahami bahawa perniagaan itu boleh berkembang, dan mencipta pasaran untuk produk atau perkhidmatan mereka. Saya benar-benar merasakan kita perlu melakukan lebih dari sekadar program,” katanya lagi.
Aiza berkata demikian sewaktu menjadi panelis Praxis 2021, anjuran Institute Of Strategic And International Studies (ISIS) Malaysia, bertajuk 'Recovering Malaysia', yang disiarkan secara maya hari ini.
Untuk siri kali ini, perbincangan Praxis menyentuh mengenai pengalaman dan persiapan negara menghadapi COVID-19, serta polisi yang bersesuaian untuk memulih dan mengukuhkan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Aiza berkata, MDEC memahami kepentingan memupuk kesedaran di kalangan msme tentang kepentingan digitalisasi perniagaan, serta memastikan mereka memahami segala aspek berkaitan.
“Di MDEC, kami menyedari tentang kepentingan membuat intervensi di samping program sedia ada. Kami sudah memerhatikan, malangnya, ada PKS yang perlahan-lahan mati atau kembali menjadi perniagaan mikro.
“Ini kerana mereka tidak bersedia untuk menghadapi revolusi, tidak semestinya berlaku ketika pandemik COVID-19, tetapi revolusi tentang perubahan tingkah laku pelanggan.
“Ketika ini kita sudah selesa dengan membuat transaksi secara maya. Jadi apabila pengusaha perniagaan ini masih belum bersedia. walaupun mereka memenuhi empat kriteria yang saya gariskan tadi, maka proses transformasi itu akan menjadi sangat sukar,” katanya lagi.
#PMKS #MDEC #Aiza Azreen Ahmad #digitalisasi
;