Perusahaan madu kelulut di Kapit, jana pendapatan lumayan
Syafik Shukri Jalil
Disember 9, 2021 22:56 MYT
Disember 9, 2021 22:56 MYT
KAPIT: Bermula dengan hanya dua log madu kelulut, seorang pengusaha produk itu di Kapit kini boleh berbangga apabila terus mendapat permintaan yang tinggi.
Menurut Richard Nyalau, dia memulakan perusahaan itu bersandarkan minatnya untuk memulakan perniagaan berasaskan produk tani.
Katanya, dia mula berjinak-jinak dalam perusahaan madu kelulut lima tahun lalu dengan membeli dua log di Sarikei.
Kini, dengan pembukaan jalan raya yang menghubungkan Sibu terus ke Song dan Kapit, potensi untuk mengembangkan perusahaan itu terus meningkat.
“Jadi, sebenarnya saya sudah melibatkan diri lima tahun lalu dan mula-mula dulu saya beli dua log ni di Sarikei di rumah mentua pada waktu itu.
“Tetapi dulu susah sebab kita hanya ada akses bot ekspres ke Kapit namun sekarang dengan adanya jalan raya (Jalan Sibu ke Kapit) maka saya boleh terus mengembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui di Astro AWANI di Kapit.
Usahawan Berjaya | Perusahaan madu kelulut, jana pendapatan lumayan
Ujar Richard, pada mulanya dia tidak pasti akan potensi pasaran perusahaan itu lebih-lebih lagi di Kapit.
Ini kerana masyarakat lebih terbiasa dengan madu tualang yang hanya diperoleh di dalam hutan.
Bagaimanapun, dia tidak kenal erti putus asa dan meneruskan usaha untuk memperluaskan pasaran dan memenuhi permintaan.
Kini, dia boleh berbangga kerana sudah memiliki tiga ladang madu kelulut termasuk dua di Kapit dan satu di Sarikei.
Malah hasil madunya kini juga sudah mula dijual merentasi Laut Cina Selatan juga di Sabah.
Ujarnya, usaha ini pasti tidak akan berjaya tanpa bantuan daripada Jabatan Pertanian yang banyak membimbingnya bagi menghasilkan lebih banyak stok madu kelulut.
“Sebenarnya saya banyak bertanya dan membuat rujukan dengan Jabatan Pertanian dan banyak memberi bimbingan kepada saya.
“Saya turut menerima bantuan daripada pejabat Ahli Parlimen Kapit dan menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, mereka juga memberi bantuan 24 log madu kelulut tambahan kepada saya,” katanya lagi.
Selain itu, dia dan isterinya sebelum ini pernah menghasilkan produk hiliran seperti sabun muka hasil daripada madu kelulut yang diusahakannya.
Namun penghasilan sabun muka itu terpaksa dihentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac tahun lalu.
Selain terus fokus memperluaskan pasaran dan memperbesarkan perusahaannya, Richard juga kerap dipanggil untuk memberi khidmat bimbingan khusus kepada golongan belia yang ingin berjinak-jinak dalam sektor pertanian.
Harapannya hanya satu, melihat sektor itu terus diperkasa dan mampu menyaksikan penyertaan golongan belia di Kapit dan di seluruh Sarawak.
“Untuk rakan belia di luar sana, sebenarnya bila kita ada usaha pasti akan beroleh kejayaan.
“Tidak apa sektor yang diceburi baik perusahaan madu kelulut atau mengusahakan pertanin fertigasi, sekiranya minat digabungkan dengan kesungguhan, ia pasti membuahkan hasil dan kejayaan yang lumayan,” tambahnya.