Peruntukan untuk projek yang diumum dalam Belanjawan 2024 diagih awal - PM
Bernama
Januari 18, 2024 04:40 MYT
Januari 18, 2024 04:40 MYT
CYBERJAYA: Kementerian Kewangan telah mula mengagihkan peruntukan bagi projek-projek yang diumum dalam Belanjawan 2024 kepada pelbagai agensi berkaitan pada bulan ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Penyaluran peruntukan yang pantas ini adalah bagi mempercepat projek terbabit tanpa perlu menunggu lebih lama untuk pelaksanaan yang berterusan," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sidang akhbar sempena program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di sini semalam.
Beliau bersama 31 menteri menghadiri program dua hari itu yang berlangsung di Cyberview Resort Spa sejak Rabu.
Mengulas prospek ekonomi negara bagi 2024, Perdana Menteri berkata perkara paling utama ialah kestabilan politik disusuli dengan dasar-dasar yang jelas.
-- BERNAMA